Pertahan warisan batik lukis menerusi perniagaan

Mohd Faizal (kanan) dan bapanya, Abdullah Awang menunjukkan batik yang siap melalui proses penghasilannya sebelum dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan.
Mohd Faizal (kanan) dan bapanya, Abdullah Awang menunjukkan batik yang siap melalui proses penghasilannya sebelum dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Warisan seni cantingan batik yang ada di negeri Kelantan perlu dipelihara agar tidak lapuk dek zaman.

Bahkan tradisi penghasilan batik buatan tangan oleh pencanting-pencanting batik di negeri ini juga perlu dikekalkan legasinya menerusi cabang perniagaan.

Seorang pengusaha batik, Mohd Faizal Abdullah, 38, berkata, perusahaan batik miliknya yang terletak di Kampung Pantai Pulau Kundur, di sini, bukanlah semata-mata perniagaan bagi menyara kehidupan keluarga malah adalah usaha dirinya sendiri bagi mempertahankan warisan paling berharga itu.

Katanya, perniagaan batik itu sendiri diwarisi daripada bapanya, Abdullah Awang, 65, yang sudah berkecimpung dalam bidang penghasilan batik selama lebih 40 tahun.

“Dahulu bapa yang melakukan proses penghasilan batik bagi menyara kehidupan kami 12 beradik dan kini giliran saya mengambil alih serta menguruskan perniagaan ini.

“Bermula dengan proses mencanting iaitu melukis corak, kemudian mewarna, mematikan warna dan menjemur batik semuanya dipelajari daripada ayah sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Pantai Pulau Kundur, di sini, pada Ahad.

Mohd Faizal berkata, usaha penghasilan batik dilakukan di kawasan berhampiran pantai berikutan proses penghasilan batik memerlukan suhu yang tinggi sehingga 30 darjah Celsius atau cuaca panas terik.

“Ketika ini saya mempunyai 20 pekerja dan mampu menyiapkan 130 helai batik sepanjang empat meter dalam tempoh sehari.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan ini juga bergantung kepada cuaca, kerana musim tengkujuh atau hujan akan menyebabkan lilin pada kain rosak dan warna batik tidak akan terhasil dengan baik,” katanya.

Mohd Faizal menjemur kain-kain batik yang dilukis menggunakan kaedah cantingan tangan di Kampung Pantai Pulau Kundur, Kota Bharu baru-baru ini.
Mohd Faizal menjemur kain-kain batik yang dilukis menggunakan kaedah cantingan tangan di Kampung Pantai Pulau Kundur, Kota Bharu baru-baru ini.

Menurutnya, dia masih mengekalkan penghasilan batik secara tradisional menggunakan tenaga manusia pada setiap proses penghasilan batik kerana mahu mengekalkan dan mempertahankan tradisi itu.

“Boleh saja gunakan mesin atau teknologi yang lebih canggih tetapi kalau guna tenaga manusia, lukisan yang terhasil akan lebih eksklusif.

“Umum tahu, kalau sebut sahaja corak batik lukisan tangan pasti pada kebiasaannya hanya ada satu sahaja batik tersebut dalam dunia ini, tidak ada corak yang serupa berbanding batik dihasilkan menggunakan acuan,” katanya.

Menurutnya, selain 100 peratus buatan tangan, dia juga menghasilkan corak yang pelbagai hasil gabungan corak menggunakan acuan dan buatan tangan serta sebagainya.

“Bagi trend masa kini, warna-warna pastel terus menjadi kegilaan ramai dan saya boleh menjual batik secara borong antara 300 sehingga 400 helai sehari.

“Ditambah pula ketika pandemik, permintaan meningkat mendadak sehingga tidak menang tangan kerana ramai yang gemarkan pemakaian batik terutama kaftan yang bukan sahaja cantik bahkan paling penting amat selesa dan sejuk semasa dipakai,” katanya.

Ujarnya, permintaan juga amat mendadak pada musim tengkujuh walaupun proses penghasilan batik terpaksa diperlahankan dibimbangi batik akan rosak.

“Saya berharap batik akan terus diminati oleh semua orang bukan sahaja Malaysia malah di seluruh negara.

“Batik saya sudah ada di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Brunei, saya bercita-cita mengembangkan perniagaan batik ke peringkat antarabangsa seperti ke Singapura atau Indonesia malah ke Eropah pada satu hari nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!