Fokus Harimau Malaya tak kucar-kacir

Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan prestasi hambar pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan prestasi hambar pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dijangka mengekalkan khidmat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain menyambung kontrak jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Brad Maloney dianggap satu keputusan tepat.

Bekas pemain negara, Azlan Johar berkata, keputusan FAM itu membolehkan Cheng Hoe dan Maloney memberi fokus sepenuhnya dalam membimbing skuad masing-masing.

Malah, Azlan berpendapat, kedua-dua jurulatih itu mempunyai skop tugas dan misi berbeza bagi mengangkat maruah bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.

“Berdasarkan rekod, saya rasa Cheng Hoe juga sudah biasa dengan pemain. Ini kerana dalam bola sepak, kita perlukan masa yang panjang untuk bangunkan sesebuah pasukan.

“Ia juga bagi memastikan kesinambungan tugasan dahulu dan kalau ia (tugasan) nampak baik, ia perlu diteruskan. Cheng Hoe sudah ada kesinambungan dalam pasukan negara sejak beberapa tahun lalu.

“Jadi bagi saya, tindakan FAM kali ini yang tidak bercadang untuk memecat Cheng Hoe memang bagus dan tepat pada masanya,” kata Azlan kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Isu pemecatan Cheng Hoe mula hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu susulan prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, FAM tidak harus mengulangi kesilapan sama khususnya membabitkan persiapan skuad Harimau Malaya jika Cheng Hoe terus diberikan kepercayaan meneruskan tugasnya.

Artikel Berkaitan:

“Jika FAM mahu mengekalkan Cheng Hoe, FAM kena bantu beliau dengan memastikan setiap perancangan dilaksanakan terutama membabitkan latihan pusat dan aksi persahabatan.

“Jadual liga juga perlu diselaraskan agar tidak memberikan kesan kepada pemain, tambahan pula sekarang kita dah ada sains sukan, jadi boleh ikut sains sukan,” ujarnya.

Azlan turut menyambut baik keputusan FAM menyambung kontrak Maloney yang berjaya mengemudi skuad B-22 negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

“Maloney telah melakukan tugas yang baik selaku pengendali skuad B-22 negara dengan membawa barisan pemain muda ini ke satu tahap yang tidak disangka-sangka.

“Malah, pemain juga nampak serasi dengan dengan Maloney. Faktor-faktor seperti inilah yang menjadikan sesebuah pasukan itu kuat kerana pemain beraksi bersungguh-sungguh bagi memuaskan hati jurulatih.

“Cuma saya harap Maloney tidak ‘diganggu’ kerana beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang bagi memastikan skuad muda negara layak beraksi pada Piala Asia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!