Barangan buangan tambah rezeki pengumpul besi

Henba dan Abdul Salam
Henba dan Abdul Salam
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika ramai mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian harta benda ekoran banjir baru-baru ini, namun kisah sebaliknya pula berlaku buat pekerja dan individu yang melakukan aktiviti mengumpul besi buruk.

Beberapa pengumpul besi buruk yang ditemui di sekitar Seksyen 25 di sini pada Selasa memaklumkan terdapat banyak barangan dibuang mangsa banjir di kawasan berkenaan boleh diambil untuk dijual sekali gus sedikit sebanyak menambahkan pendapatan mereka berbanding sebelum banjir.

Antara barangan diambil mereka ialah katil besi, mesin basuh, peti ais, perabot seperti kerusi, barangan dapur termasuk basikal serta mainan kanak-kanak.

Pengumpul besi buruk, Henba Arasan, 24, berkata, banjir baru-baru ini sememangnya secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan besi buruk di kawasan tersebut hasil daripada barangan rosak yang dibuang penduduk.

“Biasa sebelum banjir, saya bersama seorang kawan yang turut memiliki sebuah lori boleh dapat dalam sekitar RM100. Tapi sekarang ini boleh dapat paling kurang RM200 sehari,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Henba yang bekerja sebagai pengumpul besi sejak setahun lalu berkata, kerja-kerja mengumpul besi selepas banjir bagaimanapun mempunyai cabaran tersendiri kerana barangan dibuang itu dilonggokkan bersama sampah lain sehingga menyebabkan bau busuk.

“Walaupun banyak barangan boleh diambil untuk dijadikan besi buruk, tapi usaha hendak mengambilnya agak payah. Kita kena asingkan dulu sampah sebelum boleh buka dan ambil besi untuk dijual,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu lori besi buruk, Solan Muniandy, 62, berkata, walaupun banyak barangan yang dibuang boleh dijadikan besi buruk, namun kerja-kerja untuk memproses barangan tersebut sebelum dijual agak melecehkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, barangan yang dibuang itu biasanya dalam keadaan sangat kotor selain diletakkan bersama sampah sarap.

Seorang lagi pengumpul besi buruk, Abdul Salam Muhammad Isalam, 21, pula berkata, dia mengambil keputusan untuk melakukan kerja-kerja mengumpul besi buruk itu bagi menambah pendapatannya sementara menunggu untuk kembali bekerja.

Abdul Salam yang tinggal di sekitar Seksyen 7 di sini berkata, dia terpaksa bercuti selepas syarikat tempatnya bekerja perlu menghentikan operasi buat sementara kerana turut terjejas akibat banjir.

“Saya baru buat kerja-kerja mengumpul besi ini sejak semalam (Isnin) sebab kawan saya beritahu dia dapat dalam RM65 sehari.

“Sekarang tengah cuti, saya cuba untuk kumpul sedikit. Kalau dapat RM20, boleh dapat tambah makan minum sikit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!