Spurs gagal manfaatkan peluang
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte kecewa apabila pasukannya gagal memanfaatkan peluang bermain menentang 10 pemain apabila terikat 1-1 menentang Southampton awal pagi tadi.
Tonggak serangan Spurs, Harry Kane menjadi wira buat skuad Lilywhites apabila dia berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada lewat separuh masa pertama selepas pemain tengah The Saints, James Ward-Prowse berjaya membuka jaringan pada minit 25.
Nasib malang menerima Southampton apabila terpaksa bermain dengan 10 orang pemain pada babak kedua selepas tonggak pertahanan, Mohammed Salisu dilayangkan kad merah sebelum masa rehat separuh masa pertama.
“Saya kecewa apabila pasukan tidak guna kelebihan bermain dengan 10 pemain untuk menang pada perlawanan ini.
“Pujian harus saya berikan kepada Southampton kerana mereka bertahan agak baik dan agak sukar untuk kami mencari ruang untuk menjaringkan gol.
“Bagaimanapun saya rasa pasukan sebenarnya mampu untuk bermain dengan lebih baik, cuma mungkin atas faktor kepenatan kerana bermain semula selepas 48 jam menyebabkan mereka gagal menampilkan persembahan yang cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu Conte berkata, dia tidak mahu menyalahkan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebagai punca pasukannya tidak dapat mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Katanya, dia memahami keputusan yang dilakukan oleh pengadil itu adalah yang terbaik dan berharap mereka akan melakukan tugas yang lebih cemerlang selepas ini.
“Saya rasa Harry (Kane) berjaya menjaringkan dua gol iaitu satu melalui sepakan penalti dan satu agi terpaksa dibatalkan kerana ofsaid.
“Saya tidak mahu membantah keputusan itu kerana saya tahu mereka sudah melakukan keputusan yang terbaik dan berharap mereka dapat mengekalkan momentum tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!