88 kaunselor bantu mangsa banjir di Pahang
KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama agensi di bawah Psychology Support Team (PST) menempatkan 88 kaunselor di setiap daerah di negeri ini bagi mengatasi masalah kemurungan dalam kalangan mangsa banjir.
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan tekanan emosi yang dialami kerana musibah kali ini banyak harta benda musnah dalam sekelip mata.
Menurutnya, sebelum ini, kaunselor terlibat berada di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk bertemu dengan mangsa banjir, namun selepas banjir surut mereka mula bergerak ke rumah mangsa untuk memberi kaunseling.
"Ini pendekatan kita ambil bagi mengelak kemurungan teruk dalam kalangan mangsa," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai bantuan pasca banjir yang diuruskan JKM, Zulkhairi berkata, pihaknya menyelaras semua urusan pembersihan premis PPS di seluruh Pahang.
Katanya, seramai 128 kakitangan JKM terlibat bagi urusan terbabit.
"Daripada jumlah itu, kita telah agihkan mereka beberapa kumpulan yang disertai seramai 11 orang dan mereka ini berada di setiap daerah.
"Mereka ini akan dibantu sukarelawan JKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam membantu mangsa banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!