Jordi Alba positif Covid-19
BEK kiri Barcelona, Jordi Alba akan terlepas perlawanan menentang Real Mallorca pada Ahad selepas dia disahkan positif Covid-19.
Barcelona dalam satu kenyataan pada awal pagi Rabu berkata, pemain berusia 32 tahun itu merupakan pemain yang ketiga dijangkiti virus tersebut selepas rakan sepasukan Clement Lenglet dan Dani Alves turut dijangkiti wabak berkenan.
“Jordi Alba telah disahkan positif Covid-19 yang memaksa dirinya tidak dapat menyertai sesi latihan yang diadakan di Ciutat Esportiva Joan Gamper.
“Pemain tersebut kini sedang menjalani kuaranti di rumahnya dan kini berada dalam keadaan sihat.
“Dia akan diketepikan bersama Clement Lenglet dan Dani Alves, yang turut diuji positif Covid-19," kata kenyataan tersebut.
Perkhabaran itu nyata memberi tamparan hebat kepada jurulatih skuad Catalan itu, Xavi yang kini perlu mencari jalan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alba dalam usahanya memperbaiki kedudukan Barcelona dalam liga ketika ini.
Untuk rekod, hanya Sergio Busquets, Marc-Andre ter Stegen, Memphis Depay dan Frenkie de Jong yang mempunyai minit permainan lebih banyak berbanding Jordi Alba dalam kesemua kejohanan musim ini.
Beraksi selama 1,526 minit sudah cukup membuktikan bahawa betapa pentingnya tonggak pertahanan Sepanyol itu kepada Barcelona ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!