Myanmar mendominasi agenda ASEAN pada 2021
KUALA LUMPUR - Krisis Myanmar terus mendominasi agenda ASEAN pada 2021, dengan para pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa berharap untuk melihat blok dengan 10 anggota itu menunjukkan kemajuan yang lebih baik pada 2022 berkaitan Konsensus Lima Perkara yang disepakati pada 24 April.
Seperti yang difahami ASEAN tidak mendapat akses dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang bertujuan mencari perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar, dengan junta terus bertindak ganas terhadap rakyatnya sendiri.
Konsensus lima perkara itu adalah menamatkan keganasan, mengadakan dialog yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, duta khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan perbincangan, dan utusan dibenarkan melawat negara itu.
Berikutan kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara oleh junta tidak mencukupi, Myanmar diketepikan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada hujung Oktober.
Namun, terdapat konsensus yang dicapai iaitu mengenai siapa yang akan mewakili Myanmar pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China pada 22 November untuk memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China, bagaimanapun wakil yang dipilih tidak muncul di pertemuan itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata Duta Myanmar ke Beijing pada mulanya dijemput untuk mewakili negara itu ke sidang kemuncak berkenaan, sambil menambah bahawa "walaupun kerusi Myanmar kosong (di sidang kemuncak), tetapi sekurang-kurangnya wujud semacam konsensus tentang siapa yang akan mewakili Myanmar".
Myanmar bergolak sejak 1 Februari apabila ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi yang memenangi pilihan raya dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan yang menyusul.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dari 14-15 Disember, dalam sidang akhbar bersama dengan Saifuddin menegaskan bahawa sejak rampasan kuasa tentera, krisis di Myanmar bertambah buruk.
Menggariskan pelbagai tindakan yang diambil untuk memberi tekanan kepada junta Myanmar supaya mengubah haluan, Blinken berkata, adalah amat penting untuk melihat langkah dan langkah tambahan yang boleh diambil secara individu dan kolektif untuk memberi tekanan kepada Myanmar untuk kembali ke demokrasi.
“ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, yang turut dianggotai Myanmar) mempunyai rancangan Konsensus Lima Perkara, yang dipersetujui dan ditandatangani oleh junta, dan rancangan itu perlu dilaksanakan.
"Dan kami sedang menunggu untuk melihat sama ada junta memenuhi komitmen yang dipersetujui melalui Konsensus Lima Perkara," kata Blinken seperti yang dilaporkan.
Menjelang 2022, ASEAN perlu mencapai sedikit kemajuan dalam episod Myanmar. Dengan rampasan kuasa yang hampir mencapai tempoh setahun, harapan tinggi diletakkan pada Pengerusi ASEAN 2022, Kemboja untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara itu.
Lebih-lebih lagi, pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa sentiasa memerhati bagaimana usaha Pengerusi baharu itu akan membuahkan hasil yang berbeza, meskipun sedar tidak mungkin junta tiba-tiba akan berubah hati dan mengambil langkah konkrit untuk melaksanakan konsensus itu.
Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dilaporkan berkata, Kemboja akan berusaha untuk terlibat secara langsung dengan kerajaan tentera Myanmar semasa menjadi pengerusi ASEAN kelak.
Beliau berkata sebagai pengerusi ASEAN untuk 2022, pendekatan Kemboja terhadap Myanmar akan menetapkan usaha blok itu untuk menangani krisis politik dan kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada Februari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!