Maut ditetak abang murung selepas bercerai
JELI - Seorang pemuda warga Thailand maut ditetak abang kandung yang dipercayai kemurungan akibat bercerai dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Rual Melayu di sini awal pagi Rabu.
Kejadian berlaku pada jam 1.20 pagi menyebabkan mangsa Mr Ma Udeng Masae, 30, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada saksi iaitu seorang lagi adik mereka yang berusia 27 tahun.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati mangsa terbaring di bahagian dapur dalam keadaan berlumuran dan disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa sedang memasak di dapur rumah dan suspek yang berusia 36 tahun secara tiba-tiba menetak mangsa di bahagian leher menggunakan pedang menyebabkannya maut di tempat kejadian.
“Seorang lagi adik mereka yang berada di luar rumah terdengar bunyi bising dan masuk ke dalam rumah melihat mangsa sudah berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, sejurus kejadian itu, suspek melarikan diri sebelum ditemui oleh polis kira-kira dua kilometer dari rumah berkenaan sambil memegang sebilah pedang.
“Suspek dalam keadaan kebingungan dan tidak melawan ketika ditahan polis.
“Menurut keterangan ahli keluarga, suspek mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu selepas bercerai dengan isteri dan mempunyai tiga anak,” katanya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jeli untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!