Staf, pelajar UCSI bantu mangsa banjir
KUALA LUMPUR – Pelajar dan staf Kumpulan UCSI tidak melepaskan peluang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini.
Dalam tempoh singkat, pelajar dan staf termasuk komuniti setempat berjaya mengumpulkan pelbagai barangan keperluan dianggarkan bernilai lebih RM20,000 yang kemudiannya diserahkan kepada beberapa badan bukan kerajaan untuk pengagihan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
Naib Presiden Kumpulan Perhubungan Korporat (GCA) Kumpulan UCSI, Leong Sat Sing berkata, apa yang dialami mangsa banjir di seluruh negara merupakan sesuatu yang tragik.
“Kami di UCSI berharap sumbangan yang diberikan para pelajar dan staf ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir terlibat.
“Kami sangat bersyukur juga menghargai sumbangan yang dihulurkan semua pihak serta sumbangan tenaga pelajar dan staf dalam membersihkan rumah mangsa banjir,” katanya.
Minggu lalu, seramai 10 pelajar dan staf turun padang bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terletak di Taman Sri Muda, Shah Alam serta Taman Sri Nanding, Hulu Langat.
Pelbagai barangan berjaya dikumpulkan termasuk pakaian, mi segera, lampin pakai buang, tisu, tuala, kit ujian Covid-19 serta air minuman yang kemudiannya dihantar oleh staf UCSI ke Balai Raya MPKK Kampung Baru Sungai Chua, Lions Club (KL Capital), TDRA dan agensi media yang mengumpulkan barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir iaitu Sinar Harian serta Nanyang Siang Pau.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Farmaseutikal, Profesor Madya Dr R Mogana bekerjasama dengan Dekan Fakulti Sains Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Habibah A Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Edge Pharma untuk membantu mangsa banjir mengatasi krisis.
Bantuan bencana melibatkan barangan perubatan dan ubat-ubatan ditaja oleh Hexa-Communications, Global Edge Pharma, AKATI Sekurity serta beberapa individu diagihkan ke beberapa lokasi terjejas akibat banjir seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Mana-mana pihak yang ingin membantu, boleh menghubungi emel berikut mogana@ucsiuniversity.edu.my, krishna.raj@akati.com atau globaledgepharma@gmail.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!