Penduduk alami alahan kulit teruk selepas bersih rumah banjir
KUALA SELANGOR - Penduduk Kampung Asahan di sini bukan sahaja bimbang banjir belum surut, malah mendakwa mengalami alahan kulit teruk selepas melakukan kerja pembersihan rumah mereka yang ditenggelami air sejak 20 Disember lalu.
Rata-rata penduduk mendakwa mereka mengalami rasa gatal pada kulit hingga terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan.
Seorang penduduk, Siti Subaidah Udin, 31, berkata, alahan di kedua-dua tangannya dialami selepas dia membersihkan rumah ibunya pada Ahad lalu.
"Semasa mencuci rumah saya tidak alami kegatalan, namun saya tidak tentu arah apabila tangan mula alami gatal semasa pulang ke PPS (pusat pemindahan sementara) Stadium Tertutup Melawati pada waktu malam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Siti Subaidah yang juga pekerja sebuah kedai pakaian berkata, kerja mencuci rumah ibunya itu berdepan kesukaran apabila terpaksa membersihkan lumpur berwarna kehitaman.
"Air yang masuk ke rumah rumah kami berlainan berbanding kebiasaan apabila ia bercampur lumpur hitam dipercayai dari longkang yang sukar dibersihkan.
"Saya terpaksa ambil masa selama sembilan jam untuk membersihkan sebahagian rumah, manakala sebahagian lagi masih belum dibersihkan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Norhasan Esa, 63, berkata, kedua-dua kakinya rasa merenyam selepas membersihkan rumahnya pada Ahad lalu.
Jelasnya, sebelum ini dia tidak pernah mengalami masalah kulit, namun merasa tidak selesa setiap kali membersihkan rumah.
"Saya alami bintik-bintik merah dan gatal pada kaki sejak tiga hari lalu dan sehingga kini masih belum hilang.
"Setiap malam, saya sukar hendak tidur dan terpaksa menggaru kaki serta menyapu ubat kulit bagi mengurangkan rasa gatal," katanya.
Seorang penduduk, Mohd Aslan Ab Ghani, 37, berkata, kebanyakan mereka yang mengalami alahan kulit itu terdiri daripada warga emas dan mereka yang melakukan kerja-kerja pembersihan rumah.
Katanya, ramai dalam kalangan mereka mengeluh akibat penularan penyakit kulit disebabkan banjir.
"Alhamdulillah, saya tidak alami masalah kegatalan, cuma ada penduduk mula resah apabila banjir bawa masalah kegatalan kulit.
"Saya difahamkan mereka yang mengalami alahan kulit sudah mendapatkan rawatan dan diberikan ubat-ubatan bersesuaian," katanya.
Mohd Aslan memberitahu, sehingga kini penduduk Kampung Asahan masih belum pulang ke rumah dan masih menumpang teduh di PPS Stadium Tertutup Bukit Melawati.
Katanya, keadaan banjir di kampung itu beransur surut sejak Selasa lalu dan hanya beberapa rumah sahaja masih ditakungi air.
"Pada masa ini penduduk sudah mula pulang membersihkan rumah masing-masing tetapi mereka masih ditempatkan di PPS.
"Penduduk mungkin dibenarkan pulang semula ke rumah esok (Khamis) atau Jumaat ini jika keadaan bertambah baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!