Long Tiger: Ketua Polis Daerah, dua anggota kena tindakan tatatertib

 Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Daerah Tangkak bersama dua anggotanya dikenakan tindakan tatatertib kerana cuai dalam penyeliaan dan penugasan sehingga Long Tiger meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua anggota terbabit merupakan ketua polis balai dan seorang inspektor ketenteraman awam di salah sebuah balai di Tangkak.

"Kesemua mereka disiasat di bawah tatatertib kerana aspek penyeliaan dan kecuaian.

"Kertas siasatan akan dipanjangkan ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan susulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK) Johor pada Rabu.

Menurut Ayob Khan, turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Senior Asisten Komisioner dan Koperal yang cuai sehingga maklumat dalaman polis berhubung Long Tiger bocor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta," katanya.

Sementara itu katanya, polis sudah mengenalpasti pemilik akaun Facebook menggunakan nama Jebat Derhaka yang menularkan gambar Long Tiger ditangkap oleh beberapa anggota polis pada Selasa.

"Pemilik akaun ini merupakan seorang bekas anggota polis berumur 47 tahun dan berasal dari Klang Selangor. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan turut mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pegawai polis dan orang awam yang menularkan maklumat sulit dan gambar operasi di media sosial.

"Saya sudah mengambil tindakan kepada pegawai, anggota polis dan orang awam yang menularkan maklumat sulit serta gambar operasi yang diperoleh melalui Facebook," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!