10 jam duduk atas bumbung dengan kucing, ular sawa

Asiah ketika menceritakan detik berada atas bumbung rumah bersama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam akibat terperangkap banjir.
Asiah ketika menceritakan detik berada atas bumbung rumah bersama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam akibat terperangkap banjir.
A
A
A

HULU LANGAT - Dua beradik warga emas terpaksa duduk atas bumbung rumah bersama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam akibat terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Lui pada 18 Disember lalu.

Menceritakan detik cemas itu, Asiah Osman, 63, berkata, hujan pada pagi hari itu, sama seperti sebelum ini.

Lazimnya kata beliau, air akan naik hingga ke paras jalan di depan rumah sebelum ia surut kembali.

"Namun menjelang jam 5 petang, hujan masih tidak berhenti dan air di sungai yang jaraknya hanya 15 meter dari rumah sudah mula naik pada jam 7 malam," katanya ketika ditemui dalam operasi pasca banjir Pasukan Gerakan Am di Kampung Sungai Lui di sini pada Rabu.

Asiah memberitahu, anak angkatnya berjaya membawa kereta dan motosikal ke tempat yang lebih tinggi, apabila dia berpatah balik mendapati air deras serta parasnya sudah semakin naik.

"Dia kemudian telah hanyut dibawa arus deras, namun berjaya menyelamatkan diri selepas memanjat dan berpaut di sebatang pokok langsat," katanya.

Asiah berkata, dia bersama adiknya berusia 62 tahun pula memanjat bumbung rumah dengan membawa bersama empat ekor kucing peliharaan.

"Saya terperanjat apabila melihat seekor ular sawa ada di atas bumbung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu berkata, ular itu kemudian beredar apabila air mulai surut pada jam 5 pagi.

"Penduduk di sekitar kawasan ini tidak dapat membantu kami sekeluarga kerana air sungai deras. Pada masa itu, saya hanya ingat ALLAH SWT, menangis pun tidak berguna," katanya.

Bekas kakitangan Bank Negara itu menjelaskan, dia sudah mendiami rumah tersebut sejak 40 tahun lalu, namun kejadian banjir itu adalah pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

Kata Asiah, pada masa akan datang dia akan menyelamatkan dirinya lebih awal jika hujan lebat tanpa henti dalam tempoh dua jam.

"Saya trauma dengan kejadian banjir ini, saya akan menyelamatkan diri lebih awal jika bencana ini berulang lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!