Gesa tubuh RCI siasat aktiviti balak Sungai Telemong

Pengguna Facebook memuat naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir pada 18 Disember lalu.
Pengguna Facebook memuat naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir pada 18 Disember lalu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara telus punca timbunan kayu balak di Sungai Telemong, Bentong pada minggu lalu.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, siasatan perlu bagi mengetahui sama ada pembalakan dilakukan secara haram tau berlesen.

Menurutnya, kejadian di Telemong sudah melibatkan kemusnahan alam sekitar, harta benda dan nyawa.

"Penubuhan RCI perlu dimulakan sekarang, jika isu membabitkan pembalakan atau perlombongan tidak terkawal boleh mengakibatkan kemusnahan alam sekitar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Rabu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan pihaknya menunggu laporan lengkap siasatan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung perkara itu.

Pada Khamis lalu, beberapa pengguna Facebook memuat naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Susulan itu, pihak tertentu mendakwa kewujudan timbunan sisa kayu termasuk bersaiz kayu balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Dalam kejadian Sabtu lalu, empat mangsa dilaporkan meninggal dunia, sementara dua hilang dan 10 lagi selamat apabila lima kereta dihanyutkan arus deras selepas terperangkap di atas jambatan merentasi Sungai Telemong.

Artikel Berkaitan:

Ali Akbar juga memberitahu, semua NGO Alam sekitar mengalu-alukan tindakan kerajaan Pahang yang sudah mengarahkan JPNP menjalankan siasatan tetapi RCI mungkin boleh membantu JPNP mengenalpasti punca kejadian itu berlaku secara telus.

"Kita yakin, jika ada kerjasama mungkin banyak perkara membabitkan aktiviti pembalakan atau perlombongan dapat diselesaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!