Hikmah bencana banjir besar, wujud perpaduan
SHAH ALAM - Kejadian bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini ada hikmah tersendiri iaitu mewujudkan perpaduan iaitu simpati kemanusiaan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan itu menjadi titik persamaan yang wajib dipegang dengan penuh tanggungjawab secara bersama.
Ujar beliau, bencana besar itu menimbulkan simpati daripada semua pihak tanpa mengira rupa bangsa, perbezaan agama dan fahaman politik.
“Tujuannya hanyalah semata-mata demi menyelamatkan nyawa sesama manusia dan harta benda, perkara yang menjadi rukun hidup manusia yang perlu diselamatkan seberapa yang dapat dilakukan.
“Suasana beginilah yang dapat menyuburkan konsep perpaduan rakyat yang mesti diusahakan,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, jika semua ada kemampuan dan kebolehan ia dapat dikumpul secara bersama atas titik simpati kemanusiaan yang sama, nescaya akan terkumpul satu kekuatan yang perkasa.
“Hal ini penting bagi menyelesaikan masalah yang berlaku pasca bencana banjir, pada masa yang sama mempunyai suatu kekuatan bagi menghadapi segala kemungkinan yang berlaku,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemusnahan akan berulang jika manusia hanya mencari kelemahan dan kesalahan supaya memanjangkan masalah yang mampu diselesaikan bersama.
“Lebih parah lagi ada kalangan mereka yang suka menyebarkan kelemahan dan kekurangan pihak lain sekadar untuk melariskan berita murahan.
“Malah, mereka membuat provokasi yang sangat hina dan mempersendakan mereka yang telah berkorban.
Menurutnya, ketika berlaku bencana besar, sepatutnya bukan masa untuk berkelahi dan bertarung mahupun saling jatuh menjatuhkan.
“Akan tetapi, bersatulah dengan tolong menolong demi membina dan nasihat menasihati jikanada kesilapan yang berlaku,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!