UniSZA dominasi kutipan pingat MPI 2019
KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendominasi kutipan pingat emas di Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2019 apabila berjaya meraih 38 pingat emas, 50 perak dan 51 gangsa.
Lebih mebanggakan, produk hasil ciptaan penyelidik UniSZA, Dr Abd Jamil Zakaria iaitu Superb Dairy Fertilezer (SDF) turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Grand Award pada MPI 2019 kali ini.
Dr Jamil berkata, produk itu merupakan baja inovatif yang baharu dalam industri tenusu, dirumuskan untuk menyediakan nutrien seimbang diperlukan dalam pemakanan kambing tenusu bagi menghasilkan kuantiti dan kualiti susu yang tinggi.
“Gabungan keseimbangan nitrogen, fosforus, kalium dan kalsium dengan elemen surih (TE) dalam SDF terbukti dapat meningkatkan pertumbuhan, hasil dan kualiti rumput serta meningkatkan kandungan protein dan kalsium dalam susu serta meningkatkan jumlah rumput yang sihat untuk makanan ruminans.
“Kelebihan SDF ini adalah ia membekalkan nutrien lengkap dan seimbang disamping diperkayakan dengan kalsium terutamanya untuk pertumbuhan cepat pastura bagi makanan haiwan tenusu," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup MPI 2019 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (RMIC) UniSZA, Prof Madya Dr Saiful Bahri Mohamad.
Mengulas lanjut, Dr Jamil berkata, penggunaan SDF yang mudah dan praktikal turut menjimatkan di mana hanya 5 -10 gram diperlukan untuk setiap tanaman bagi selang 3 minggu serta tiada baja kimia tambahan diperlukan sekali gus dapat mengurangkan pencemaran persekitaran.
“Peningkatan penghasilan dan pengeluaran susu ini dapat meningkatkan ekonomi dan pendapatan usahawan ternakan dan tenusu,” katanya.
Sementara itu, Prof Ir Badlishah berkata, MPI 2019 ini diharap menjadi menjadi platform kepada produk-produk penyelidikan dan inovasi dapat dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.
“Kita harap produk-produk ini diketengahkan kepada pemain industri bagi tujuan pengkomersialan sekaligus menjadikan universiti lebih mampan berdaya maju.
“Dengan tema Peradaban Insan Melalui Kelestarian Penyelidikan dan Inovasi, MPI 2019 ini mampu menjadi medan kepada para penyelidik dan pelajar untuk menzahirkan idea-idea inovasi kepada produk bermanfaat untuk kesejahteraan sejagat," katanya.
MPI belangsung selama dua hari bermula 12 Mac itu mempertandingkan sebanyak 420 produk penyelidikan dan inovasi hasil penyelidik dari seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!