Kolam takungan banjir jadi projek perumahan mega
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kolam takungan yang sepatutnya dibangunkan bagi tujuan tebatan banjir tidak mencapai objektif apabila sebahagian kawasan itu tersebut ditukar kepada pelan pembangunan.
Bekas Pengerusi MC Villamas 1, Vincent Yap berkata, situasi tersebut berlaku di kolam takungan Nanyang, Wahyu dan Delima di sini selepas dua projek perumahan mega dibangunkan di kawasan tersebut.
Menurutnya, salah satu projek telah siap dan diduduki pada 2017 manakala satu lagi projek dalam proses pembinaan selain beberapa lagi kawasan dalam proses pembangunan.
"Penduduk sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan dan kesan terhadap alam sekitar. Bantahan juga dikemukakan kepada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tetapi kebenaran perancangan masih diluluskan.
"Suara kami tidak didengari dan perbincangan bersama pihak berwajib juga tiada tindakan sehinggalah banjir melanda 18 Disember lalu. Ramai pihak membuka mata mengenai pentingnya sistem saliran dan kolam takungan banjir berfungsi sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Anak jati Sentul itu memberitahu, kolam takungan Nanyang, Wahyu dan Delima yang dibangunkan bagi saliran ke Sungai Jinjang itu dilihat melimpah ketika hujan berterusan selama dua hari.
"Mujur kawasan ini tidak mengalami banjir teruk seperti di Shah Alam dan Seri Muda, Selangor," katanya kepada.
Katanya, pihak berkepentingan termasuk DBKL serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengadakan perbincangan secara teliti berhubung perkara tersebut.
Katanya, sebagai penduduk beliau bimbang kejadian di Seri Muda akan berlaku di Kuala Lumpur.
"Saya masih ingat hasrat seorang Datuk Bandar Kuala Lumpur mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai 'KL City' yang bandar berkelas dunia.
"Bandar berkelas dunia itu bukan hanya pakai nama sahaja tetapi perlu ada sistem pengurusan yang berkualiti. Jangan KL City gah pada pembangunan tapi apabila hujan menjadi ' flood city'," katanya.
Sementara itu Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Lakeville Residence, Law Chow Kuan berkata, hujan berterusan baru-baru ini menyebabkan limpahan air dari kolam Delima ke tebing kawasan perumahan yang didudukinya.
"Kawasan rumah kami turut terjejas namun tidak serius. Sebagai penduduk pastinya kami risau dan berharap ada tindakan awal bagi mengelak kejadian yang lebih serius.
"Projek pembangunan akan datang di sekitar kolam takungan ini juga membimbangkan kami. Kami tidak tahu apa akan terjadi selepas projek itu siap nanti," katanya.
Beliau turut meluahkan kegusaran susulan kolam takungan itu dipenuhi sampah dan pernah dibangkitkan sebelum ini.
"Kolam tersebut mempunyai sistem 'filter' sampah dan sampah banyak terkumpul. Itu juga salah satu punca berlaku limpahan air selain faktor hujan berterusan pada hari kejadian.
"Tiga kolam takungan masih tidak cukup menampung kapasiti air jika hujan lebat. Bagaimana nanti keadaannya apabila projek-projek pembangunan lain sudah siap, risau impaknya lebih teruk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!