Lebih 1,000 OKU dipindahkan lebih awal jika banjir

Md Hilman (kanan) meninjau keadaan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja serta memeriksa keberkesanan sistem amaran banjir di lokasi berkenaan pada Rabu.
Md Hilman (kanan) meninjau keadaan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja serta memeriksa keberkesanan sistem amaran banjir di lokasi berkenaan pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti lebih 1,000 orang kurang upaya (OKU) selain warga emas uzur di kawasan berisiko banjir di seluruh negeri yang akan dipindahkan lebih awal sekiranya dilanda bencana itu.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, butiran mengenai individu tersebut diperoleh melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat bagi melancarkan proses menyelamat sekiranya berlaku bencana di lokasi terlibat.

"Kumpulan ini diberikan keutamaan ketika proses menyelamat. Kita tidak tunggu air naik sehingga ke paras pinggang untuk memindahkan mereka kerana mereka akan dipindahkan lebih awal.

"Setakat ini pihak bomba telah mengenal pasti lebih 1,000 OKU berada di lokasi berisiko dinaiki air yang perlu diberi keutamaan untuk diselamatkan ketika banjir.

"Ketua isi rumah yang mempunyai anak OKU atau warga emas uzur disaran supaya berhubung lebih awal dengan pasukan penyelamat supaya proses pemindahan dapat dilakukan lebih awal dan pantas," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi berisiko dilanda banjir di daerah ini pada Rabu.

Menurut Md Hilman, pihaknya turut mengenal pasti seramai 99 OKU akan dipindahkan di daerah Dungun yang merupakan antara kawasan diramal dilanda banjir bagi gelombang ketiga di Terengganu.

"Kita telah kenal pasti 99 OKU di kawasan Dungun yang ada dalam senarai untuk dipindahkan lebih awal sekiranya air meningkat secara mendadak.

"Bomba sendiri mempunyai 19 buah bot yang akan digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Md Hilman berkata, kesiapsiagaan banjir di Terengganu dilakukan lebih awal saban tahun.

Katanya, pihak JPBM bersama agensi penyelamat yang lain telah menyelaraskan bentuk bantuan yang akan diberikan sama ada kecemasan atau bantuan menyelamat.

"Terengganu berdepan Monsun Timur Laut saban tahun, jadi pelan kontigensi, perancangan dan strategi telah dirangka bersama agensi penyelamat lain, penduduk kampung serta komuniti di sini.

"Untuk gelombang kali ini kita dapati tiga sungai dijangka dinaiki air iaitu Sungai Dungun, Sungai Besut dan Sungai Kuala Terengganu.

"Jadi, kita sudah gerakkan pasukan penyelamat sejak November lalu untuk membuat rondaan secara berkala di kawasan-kawasan berisiko dinaiki air," katanya.

Isnin lalu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, enam kampung di kawasan pedalaman Dungun berisiko dilanda banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku pada Khamis dan Jumaat ini.

Katanya, lebih 1,000 penduduk yang dijangka terlibat telah dinasihatkan membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!