Wujudkan jurulatih khas di setiap bahagian

Skuad Harimau Malaya disarankan untuk melantik jurulatih khas di setiap bahagian menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.
Skuad Harimau Malaya disarankan untuk melantik jurulatih khas di setiap bahagian menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan untuk melantik jurulatih khas di setiap bahagian dalam misi untuk memperkuatkan lagi skuad kebangsaan menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustapha berkata, setiap bahagian wajar turut sama menerima tunjuk ajar khas oleh individu yang mempunyai kepakaran dalam aspek tersebut seperti yang dilakukan di bahagian penjaga gol ketika ini.

Katanya, dia melihat cara tersebut mampu menajamkan lagi bahagian tersebut seterusnya akan membantu meningkatkan prestasi pasukan negara.

“Kalau kita ada jurulatih has untuk penjaga gol apa salahnya untuk kita mewujudkan jurulatih khas untuk setiap bahagian iaitu pertahanan tengah dan serangan.

“Maksud saya di sini urusan taktikal kita bagi kepada ketua jurulatih, tetapi untuk polish mereka jadi lebih hebat kena beri kepada jurulatih department masing-masing untuk tentukan drill apa yang perlu dibuat.

Saya rasa dengan cara ini mampu untuk meningkatkan lagi prestasi pemain dan mungkin akan membantu pasukan negara untuk beraksi lebih baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam pada itu, selain daripada cadangan tersebut, bekas pemain Kelantan itu turut mencadangkan agar FAM lebih berani dan kerap untuk menggunakan ubi-ubi muda untuk menggalas tugas misi di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, bukan mahu menidakkan kemahiran yang dimiliki pemain-pemain senior namun dia merasakan pemain muda mempunyai kualiti untuk diserapkan kepada skuad senior selain dilihat lebih bersemangat berbanding pemain-pemain senior sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa skuad muda negara ada kualiti untuk diberikan lebih banyak peluang bermain di peringkat senior, namun FAM perlu berani untuk melakukan perkara demikian.

“Sebab kalau kita lihat, kebanyakan skuad senior di Asia Tenggara sudah mula menggunakan pemain muda seperti Indonesia yang layak ke Final dengan tak silap saya hanya ada satu atau dua orang pemain senior.

“Tidak salah kalau mahu teruskan menggunakan pemain senior tapi kalau boleh lebihkan pemain muda bagi mereka exposure sebab mereka ini semua adalah pengganti pemain-pemain senior kini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!