Medismart Venture sasar buka cawangan kedua

Mohd Firdaus membantu pelanggan memilih tayar kerusi roda
Mohd Firdaus membantu pelanggan memilih tayar kerusi roda
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Medismart Venture Sdn Bhd menyasarkan membuka cawangan kedua di Lembah Klang dalam tempoh selewat-lewatnya lima tahun lagi.

Syarikat milik penuh bumiputera itu yang beroperasi di Bandar Sri Sendayan di sini menawarkan perkhidmatan modifikasi kerusi roda, penyelenggaraan hospital dan penyediaan peralatan perubatan.

Pengarah Urusan syarikat, Mohd Firdhaus Md Harun berkata, pemilihan pembukaan cawangan baharu di Lembah Klang kerana lokasinya yang lebih strategik.

“Lagipun ramai pelanggan kita datangnya dari Kuala Lumpur dan Selangor. Ia dalam perancangan kita untuk membuka cawangan baharu selepas beroperasi lima tahun.

“Dalam tempoh ini juga kita berbangga apabila Medismart Venture merupakan satu-satunya syarikat bumiputera dalam bidang pembuatan kerusi roda untuk OKU di Seremban,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, fokus utama syarikatnya ialah membuat modifikasi kerusi roda kepada orang kurang upaya (OKU) serebrum palsi (CP).

Ini kerana jelasnya, tidak banyak tempat yang menawarkan modifikasi kerusi roda terutama buat anak-anak CP.

Ujar graduan diploma Politeknik Shah Alam dalam bidang Bio Medical Engenering itu, dalam tempoh sebulan pihaknya menerima sekurang-kurangnya 20 tempahan membuat modifikasi kerusi roda.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus (lima dari kanan) bersama pekerjanya di Seremban.
Mohd Firdaus (lima dari kanan) bersama pekerjanya di Seremban.

“Pelanggan kami kebanyakannya kanak-kanak OKU yang hadapi masalah CP. Pentingnya kerosi roda yang telah diubah suai ini bagi membolehkan anak-anak ini duduk dan ‘bergerak’ dalam keadaan selesa.

“Kita juga buat modifikasi kerusi roda untuk OKU dewasa, tapi ia tidaklah sesukar modifikasi kerusi roda untuk kanak-kanak yang memerlukan bantuan ibu bapa untuk mengawal mereka, “ katanya yang mempunyai 15 pekerja.

Sementara itu katanya, lebih banyak pihak perlu menyediakan perkhidmatan sebegini kerana permintaannya yang meningkat setiap tahun.

Ini kerana kata Mohd Firdaus, syarikatnya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan kerana untuk menyiapkan satu kerusi roda mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.

“Ia ambil masa kerana kita perlu mengambil ukuran fizikal pelanggan. Ada ketikanya apabila sudah disiapkan perlu dibuat semula kerana tidak sesuai dengan keselesaan pelanggan.

“Kita sangat memberi keutamaan kepada kualiti. Jika tidak mencapai spesifikasi kita akan buat semula,” katanya.

Selain itu kata Mohd Firdaus, pihaknya juga menawarkan waranti setahun kepada pelanggan dan jika kerusi roda digunakan bermasalah, mereka boleh dapat penggantian.

Menurutnya, kos modifikasi satu kerusi roda dianggarkan antara RM3,500 ke RM4,000 dan ia dijangka meningkat berikutan harga peralatan yang sudah naik.

“Kita akan gunakan barang yang berkualiti dan sebab itu kita bekerjasama dengan Majlis Getah Negara dalam soal penyediaan tempat duduk yang lebih berkualiti dan tahan lama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!