Manchester City tutup 2021 lapan mata di depan
PENYANDANG juara Manchester City memperkemaskan cengkaman takhta saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjinakkan Brentford 1-0 dalam aksi liga di Stadium Komuniti Brentford.
Gol minit ke-16, babak pertama daripada Phil Foden yang juga merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut The Citizens itu sudah cukup membolehkan skuad kendalian Pep Guardiola melabuh tirai 2021 dengan lapan mata mengatasi pesaing terdekat Chelsea.
Kemenangan ke-16 liga itu di laman skuad kendalian Thomas Frank menyaksikan The Citizens mengumpul 50 mata manakala The Blues pimpinan Thomas Tuchel pula dengan 42 mata setelah masing-masing mengharungi 20 perlawanan.
Sementara itu, juara Liga Juara-Juara, Chelsea terpaksa akur apabila hanya berkongsi mata ketika melayan kunjungan Brighton apabila terikat 1-1 dalam perlawanan di Stamford Bridge.
The Blues sebelum itu mendahului pelawat menerusi jaringan penyerang sensasi Romelu Lukaku yang menyudahkan hantaran Mason Mount pada minit ke-28 untuk mendahului babak pertama.
Namun bekas penyerang sensasi Arsenal dan Manchester United, Danny Welbeck muncul wira The Seagulls apabila menghadirkan gol penyamaan pada minit ke-91', bagi membolehkan satu mata dibawa pulang skuad kendalian skuad Graham Potter dari ibu kota London tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!