Kecederaan, keputusan pengadil jejas momentum Chelsea

Tuchel - Foto The Times
Tuchel - Foto The Times
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel meluahkan kekecewaan apabila menyifatkan krisis kecederaan dan beberapa keputusan pengadil, menyaksikan The Blues semakin ditinggalkan jauh pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City apabila diikat Brighton 1-1 di Stamford Bridge.

Malah pengendali dari Jerman itu berterusan dipalit kekecewaan ketika menyaksikan para pemainnya mempamerkan persembahan penuh kesilapan selepas kehilangan beberapa tonggak berikutan Covid-19 ternyata melemahkan juara Eropah itu.

"Ia terlalu banyak masalah melanda pasukan sejak kebelakangan ini, malah pada satu ketika sememangnya terlalu banyak.

"Di sinilah kami berada pada ketika ini dan perlu menyesuaikan permintaan dengan penawaran pada situasi yang anda hadapi kini.

"Sejujurnya kami memerlukan skuad penuh selama beberapa minggu tidak hanya untuk aksi domestik tetapi juga Eropah, dan kemudian barulah kami boleh bermain dengan lebih baik," kata Tuchel.

Pada aksi tersebut, pemain pertahanan sayap Reece James terkial-kial selepas mengalami kecederaan hamstring diikuti pemain pertahanan, Andreas Christensen diturunkan pada separuh masa kedua turut berdepan isu kecederaan.

Krisis di Chelsea bermula pada Oktober apabila penyerang Romelu Lukaku dan Timo Werner cedera dalam perlawanan sama.

Kelab London sejak itu juga kehilangan pemain pertahanan Ben Chilwell akibat kecederaan lutut jangka panjang selain N'Golo Kante, Mateo Kovacic, Thiago Silva, Kai Havertz dan yang lain diketepikan kerana kecederaan dan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Chelsea sebelum ini berusaha menangguhkan perlawanan 19 Disember menentang Wolverhampton Wanderers berikutan situasi para pemain yang tidak cergas dan Tuchel berkata, dia tidak mahu meramalkan kemampuan sebenarnya skuadnya pada ketika ini.

"Kami mempunyai terlalu ramai pemain yang kami tidak tahu apa yang boleh dituntut daripada mereka selepas ini," katanya.

Pada masa sama, Tuchel mengkritik pengadil Michael Dean kerana tidak memberikan Chelsea situasi yang disifatkannya sebagai penalti 100 peratus untuk cabaran ke atas Christian Pulisic dan kerana meniup wisel sebelum rembatan daripada Mason Mount.

"Kenapa pengadil perlu meniup wisel sebelum bola melepasi garisan? Adakah dia begitu situasi pasti?," ujar pengendali dari Jerman yang mencadangkan Dean sepatutnya membenarkan permainan diteruskan dan kemudian membenarkan sistem video bantuan pengadil (VAR) untuk memeriksa kekasaran.

Chelsea selepas ini dijangka melayan Liverpool pada 2 Januari sebelum berkunjung Manchester City pada 15 Januari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!