ATM siap siaga bantu Nadma hadapi gelombang kedua banjir
KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi-agensi berkaitan menghadapi gelombang kedua banjir di negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia melibatkan 115 pegawai dan 2,768 anggota lain-lain pangkat, termasuk penggunaan beberapa aset penting seperti trak dan bot bagi tujuan menyelamat.
"Saya telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera serta Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM terutama di negeri-negeri berkenaan berada pada tahap tertinggi.
"Ia penting demi memastikan pergerakan anggota dan aset dapat dilaksanakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan, sekali gus membolehkan operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir digerakkan pada masa yang sepatutnya," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu hadir mendengar taklimat agensi yang terlibat dalam persediaan banjir gelombang kedua di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini.
Menurutnya, setakat ini ATM telah melaksanakan beberapa pendekatan antaranya menyediakan satu batalion anggota untuk sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga di setiap negeri bagi mengatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.
Beliau juga memberitahu, selain itu, pegawai juga akan digerakkan ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah.
"Kita juga meletakkan pasukan perubatan ATM dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), selain memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga.
"Kita juga akan menambah bilangan anggota bagi melaksanakan operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS," katanya.
Hishammuddin berkata, perancangan ATM ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.
Malah, katanya, kepimpinan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan akan memastikan ATM terus melakukan segala usaha yang terdaya demi memelihara keselamatan rakyat sepanjang musim banjir ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!