PDRM rampas dadah hampir RM1 bilion
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah yang dianggarkan hampir RM1 bilion di seluruh negara sejak Januari hingga November.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah rampasan dadah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun lalu sebanyak RM403.45 juta.
Menurutnya, jumlah mereka yang ditahan pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus, di mana 119,218 individu ditahan pada tahun ini berbanding 137,738 individu tahun lalu.
"Dadah jenis syabu antara yang terbanyak yang dirampas iaitu sebanyak lapan tan, diikuti efedrin (5.5 tan), ganja (3.23 tan), erimin 5 (dua tan), heroin (2.1 tan) dan 650 kilogram pil 'captagon'," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Khamis.
Nazarudin berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan 19 makmal pemprosesan dadah sepanjang tempoh berkenaan.
"Makmal dadah itu mungkin dapat memproses 1.12 tan dadah dan memperoleh keuntungan sehingga RM50 juta," katanya.
Beliau berkata, peningkatan dalam tangkapan dadah itu berikutan sindiket menjadikan negara ini sebagai transit untuk mengedar dadah ke negara lain termasuk Australia, New Zealand, Filipina dan Greece.
“Rampasan dadah yang terbesar dilakukan di Johor dan Pulau Pinang," katanya.
Tambah Razarudin, pihaknya turut mengesan 92 pangkalan haram di Sungai Golok, Kelantan yang digunakan sindiket dadah.
"Sindiket berkenaan menyeludup dadah dengan menggunakan bot melalui Sungai Golok sebelum menyembunyikan dadah itu di sebalik semak dan pelbagai taktik lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!