Rebat RM500 mangsa banjir beli barangan elektrik bermula 7 Januari
PUTRAJAYA - Mangsa banjir boleh membeli barangan elektrik dengan kemudahan rebat RM500 di bawah program ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengenai pemberian baucar RM500 kepada mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik, katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035 di sini pada Khamis, beliau berkata, individu yang layak boleh membuat pembelian secara fizikal di premis berdaftar di bawah SAVE dan platform e-dagang iaitu Lazada, Shopee dan PGMall.
“Mereka yang terkesan banjir tidak kira di negeri mana, jika layak, mereka diberi rebat segera bagi setiap pembelian. Contohnya barang bernilai RM1,000, mereka perlu bayar RM500 sahaja,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat 1,400 premis yang tersenarai di bawah SAVE kendalian Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) dan jumlah itu akan ditambah bagi memudahkan mangsa banjir membuat pembelian di premis berdekatan rumah mereka.
Menurutnya, data setakat ini menunjukkan terdapat kira-kira 80,000 isi rumah yang layak dan jumlah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencara Negara (Nadma) akan mengeluarkan dokumen pengesahan bagi memudah cara mangsa untuk membuat pembelian.
SEDA Malaysia akan mengumumkan perincian lanjut mengenai inisiatif rebat berkenaan pada 7 Januari ini, merangkumi mekanisme tebusan barangan dan jenis barangan, katanya.
SAVE merupakan program pemberian e-rebat kepada isi rumah yang membeli barangan elektrik. Sebelum ini, SAVE 2.0 yang diperkenalkan menawarkan e-rebat RM200 bagi pembelian alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!