605 mangsa banjir di Jeli, Kuala Krai dipindahkan
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin meningkat apabila 605 mangsa dari dua jajahan iaitu Jeli dan Kuala Krai telah dipindahkan ke 10 buah pusat pemindahan sementara (PPS) pada Khamis.
Menurut aplikasi InfoBencanaJKM setakat jam 3 petang menunjukkan 578 mangsa dari Jeli manakala 27 mangsa dari Kuala Krai melibatkan 171 keluarga.
Sementara itu portal ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah sudah melepasi paras amaran iaitu 23.06 meter berbanding normal iaitu 19 meter.
Bagaimanapun sungai-sungai utama di Kelantan seperti Tangga Krai (Kuala Krai), Jambatan Guillemard (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Golok (Rantau Panjang) masih normal walaupun menunjukkan trend menaik.
Setakat ini hanya satu jalan ditutup untuk kenderaan ringan iaitu jalan Kuala Balah-Dabong berhampiran Kampung Reka.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir diingatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air terus naik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!