Satu tan sampah plastik dikutip setiap hari di Sungai Tebrau

Keadaan Sungai Tebrau yang dicemari sampah. (Gambar kecil: Noorazam)
Keadaan Sungai Tebrau yang dicemari sampah. (Gambar kecil: Noorazam)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak kira-kira satu tan sampah plastik dikutip di Sungai Tebrau setiap hari oleh pihak kontraktor Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sekali gus membuktikan keseriusan pembuangan sampah yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, kerja-kerja pembersihan telah berulang kali dilakukan di sungai terbabit namun kutipan sampah konsisten direkodkan di situ.

"Isu pembuangan sampah ke dalam sungai dilihat semakin serius di bandar raya ini dan boleh menyumbang kepada masalah banjir di beberapa kawasan tumpuan.

"Isu ini dikesan berlaku di kawasan setinggan di mana terdapat 54 kawasan setinggan yang kebanyakannya berada di kawasan 'hotspot' berlakunya banjir ketika fenomena Luruan Monsun yang diramal berlaku bermula Jumaat hingga 3 Januari depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis pelancaran Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini pada Khamis.

Noorazam berkata, MBJB menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup utamakan pembersihan dan tidak boleh jadikan sungai sebagai 'pintu belakang' untuk membuang sampah.

"Tidak dinafikan masalah pembuangan sampah semakin berkeluasan walaupun sudah banyak kali kerja-kerja pembersihan dilakukan di longkang dan sungai.

"Sebagai contoh di Sungai Tebrau, kita mengutip kira-kira satu tan sampah plastik dalam masa sehari. Kutipan sampah ini konsisten bermakna setiap hari pembuangan sampah ini dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan sungai di kawasan bandar raya ini," katanya.

Menurutnya, kerja pembersihan sungai akan diteruskan ke Sungai Skudai pada tahun depan bagi mengindahkan kawasan sungai berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!