Sindiket tawar khidmat pembersihan jerat mangsa banjir

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan satu sindiket penipuan yang memperdaya mangsa-mangsa banjir dengan menawarkan perkhidmatan pembersihan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 10 laporan polis diterima berhubung sindiket penipuan perkhidmatan pembersihan berkaitan banjir setakat Khamis melibatkan kerugian sebanyak RM77,888.40.

Beliau berkata, sindiket ini dikesan menggunakan media sosial dalam menawarkan produk palsu serta perkhidmatan yang tidak wujud.

Menurutnya, sindiket berkenaan dikenal pasti menggunakan nama syarikat berbeza mengiklankan perkhidmatan pembersihan rumah, pejabat dan seumpamanya melalui media sosial.

"Mangsa yang berminat kemudiannya akan diminta untuk berhubung dengan sindiket melalui aplikasi WhatsApp, setelah setuju dengan harga yang ditetapkan, mangsa akan diminta membuat pembayaran melalui pautan yang dihantar oleh sindiket.

"Pautan tersebut akan membawa mangsa kepada laman web yang kelihatan sama dengan laman web perbankan dalam talian yang biasa digunakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa kemudiannya cuba membuat pembayaran melalui laman web tersebut namun gagal.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila mendapati wang dari akaun banknya telah berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati laman web palsu yang diakses oleh mangsa akan menyimpan semua data perbankan yang dimasukkan, data tersebut kemudiannya akan digunakan untuk mengakses akaun mangsa dan membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa sindiket penipuan ini agar segera tampil membuat laporan polis.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam mengakses sebarang kandungan iklan dalam media sosial.

"Jangan cepat terpengaruh dengan sebarang iklan mencurigakan dan semak terlebih dahulu sebelum mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!