Penduduk Tawau dikejutkan gegaran akibat gempa bumi di Indonesia
TAWAU - Beberapa kawasan di sini dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi lemah bermagnitud 4.3 pada skala Richter yang melanda Tarakan, Indonesia pada jam 2.09 pagi Khamis.
Penduduk Kampung Titingan Blok 5, Yusri Yahya, 49, berkata, seluruh keluarganya seramai 10 orang terjaga dari tidur selepas rumahnya tiba-tiba bergegar beberapa saat.
"Kami sekeluarga terus keluar rumah kerana takut dan di luar, jiran-jiran pun keluar rumah, masing-masing terkejut dengan gegaran itu, selepas rasa semuanya selamat baru kami semua masuk semula ke rumah," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku iaitu gegaran begitu kuat sehingga rumah turut dirasakan bergoyang, namun beliau bersyukur kerana tiada sebarang kerosakan dan keluarganya selamat.
Sementara itu, penduduk Rancangan Kampung Ranggu, Aminah Parok, 57, berkata, beliau turut terasa gegaran selama lima saat ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.
"Saya biasa tidur lewat dan pada jam 2.10 pagi tadi sewaktu menonton televisyen, tiba-tiba terasa gegaran kecil dan zink atap berbunyi seperti direntap, tetapi waktu itu saya tidak fikir apa-apa dan saya terus menutup televisyen dan masuk bilik untuk tidur.
"Pagi ini ketika melihat Facebook, terbaca maklumat mengenai gempa bumi lemah berlaku di Tarakan, Indonesia awal pagi tadi," katanya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tawau ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai gegaran berkaitan gempa bumi berkenaan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa itu terletak 79 kilometer barat daya dari Tawau, Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!