Rombak kabinet, tukar menteri tidak efisien

Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub mencadangkan agar kerajaan melakukan rombakan kabinet dan menukar menteri-menteri yang dilihat tidak efisien, lemah serta tidak mampu merasai denyut nadi rakyat dalam negara ini.

Ujar beliau, saranan tersebut merupakan langkah tepat bagi memastikan tidak ada lagi kelewatan serta kelemahan pimpinan dalam menguruskan apa-apa sahaja bencana negara pada masa depan.

“Ini perlu dilakukan segera kerana kita tidak mahu melihat barah yang boleh merebak ke seluruh organ kabinet itu boleh menghancurkan kerajaan.

“Saya yakin Perdana Menteri merasai dan melihat prestasi menteri-menteri yang tidak ‘perform’ (menjalankan tugas) dalam kabinet beliau,” katanya secara dalam talian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, rakyat sudah tidak lagi menaruh harapan besar kepada agensi-agensi penting dalam membantu mereka sama ada dari segi kebajikan atau kehidupan pasca banjir.

Menurutnya, kerajaan perlu menilai semula perkara tersebut bagi mengelakkan rakyat berterusan kecewa dengan apa yang menimpa mereka sebelum ini.

“Kita lihat perlu dihargai masyarakat sivil dan media yang cukup berperanan penting ketika rakyat berada dalam keadaan susah kerana rakyat sudah tidak tahu lagi saluran-saluran utama untuk memohon bantuan kerana birokrasi serta borang-borang yang terlalu banyak.

“Ini perlu dihapuskan dengan kadar segera. Kalau mahu sediakan borang, sediakan dengan limitasi yang sedikit kerana rakyat sedang susah dan jangan ditawarkan pinjaman-pinjaman sedangkan rakyat itu tidak mahu berhutang lagi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, peranan wakil rakyat amat besar kerana mereka perlu sentiasa bersiap sedia membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Jelasnya, rakyat tidak akan berdiam diri kerana mereka akan menilai setiap prestasi ahli-ahli politik yang berdegil dan tidak menunjukkan simpati kepada rakyat.

“Mana boleh kita ada pemimpin yang bercuti, bermain salji di satu negara sedangkan rakyat berada dalam keadaan susah.

“Inilah pemimpin-pemimpin yang akan dinilai secara serius oleh rakyat dan rakyat akan menghukum mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!