Simeone, Griezmann terlepas kunjungan Vallecano
KELAB La Liga, Atletico Madrid merekodkan lima kes positif Covid-19, termasuk pengurus Diego Simeone, manakala Barcelona menambah tiga lagi kes dalam kalangan pemain pada Khamis, kata Atletico.
Atletico berkata, Simeone, kapten Koke, pemain tengah, Hector Herrera serta penyerang Antoine Griezmann dan Joao Felix semuanya diuji positif Covid-19.
"Kesemua mereka tidak bergejala dan kini mengasingkan diri di rumah masing-masing, dengan mematuhi garis panduan pihak berkuasa kesihatan," kata Atletico dalam satu kenyataan.
Atletico yang kini di kedudukan kelima dalam La Liga dengan 29 mata selepas 18 perlawanan, menjadi tuan rumah kepada Rayo Vallecano pada Ahad.
Sementara itu, Barcelona berkata, pemain tengah Philippe Coutinho, pemain pertahanan Sergino Dest dan pemain sayap Ez Abde merupakan pemain terbaharu positif.
Kelab Catalan itu sebelum ini telah pun dilanda beberapa kes Covid-19 dalam skuad mereka, dengan Ousmane Dembele, Samuel Umtiti dan Gavi terpaksa disisihkan dalam kunjungan ke Mallorca bagi aksi liga pada Ahad.
Selain itu, Clement Lenglet, Dani Alves, Jordi Alba dan Alejandro Balde juga positif minggu ini.
"Sergino Dest, Coutinho dan Ez Abde berada dalam keadaan sihat dan mengasingkan diri di rumah. Kelab telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan," kata Barcelona dalam satu kenyataan.
Barca, yang kali terakhir bermain dalam liga dengan keputusan seri 1-1 di Sevilla pada 21 Disember, berada di tempat ketujuh dengan 28 mata daripada 18 perlawanan.
Real Madrid juga sedang berhadapan penularan Covid-19 dalam skuad mereka dengan Thibaut Courtois, Federico Valverde, Eduardo Camavinga, Vinicius Jr positif pada Rabu.
Luka Modric, Rodrygo, Marco Asensio, Gareth Bale, Marcelo, Andriy Lunin, Isco dan David Alaba juga positif sebelum itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!