Lelaki terperangkap banjir di ladang sawit diselamatkan
KEMAMAN - Tindakan pantas anggota keselamatan serta orang awam berjaya menyelamatkan seorang pekerja yang terperangkap dalam banjir di sebuah ladang sawit di Ladang Risda Cherul, di sini, petang Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Cheneh Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, operasi mencari dan menyelamat lelaki berusia 21 tahun itu bermula jam 1.54 petang dan mangsa berjaya ditemukan jam 4.40 petang.
"Difahamkan ketika mangsa memasuki kawasan ladang sawit tersebut, kawasan itu masih belum dinaiki air lagi.
"Mangsa menyedari air mula naik dalam jam 10 pagi dan mendapati tiada laluan untuk keluar dari kawasan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.
Menurut Mohamad Hanif, seramai sembilan anggota bomba, lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lapan orang awam digerakkan ke lokasi tersebut untuk menjejaki mangsa sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.59 pagi.
Katanya, pihak keselamatan turut menggunakan LFRT, kenderaan utiliti, bot aluminium serta bot fiber orang awam bagi mengenal pasti kedudukan mangsa memandangkan beberapa laluan telah dinaiki air.
"Pihak bomba dan PDRM dengan dibantu orang awam menggunakan satu unit bot aluminium dan fiber untuk keluar mencari mangsa di dalam ladang yang telah dinaiki air.
"Mangsa ditemui selamat oleh pasukan penyelamat dan dibawa menaiki bot untuk ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!