Urusan pemindahan, bantuan mangsa banjir di Jeli lancar: Mustapa
JELI - Koordinasi teratur antara semua agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah melancarkan urusan pergerakan mangsa banjir di Jeli ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut memuji sikap penduduk di sini yang patuh kepada arahan pemindahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Apabila berlaku banjir teruk di beberapa negeri mungkin menjadi pengajaran kepada mereka (penduduk), mereka mengikuti maklumat banjir terutamanya ramalan cuaca dan penduduk akur terus berpindah ke PPS tanpa bantuan kecuali di kawasan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di PPS Kesedar Sungai Satan, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai bantuan di PPS di jajahan itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, semua aspek dalam keadaan baik dan dan teratur berikutan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah melakukan gerak kerja lebih awal.
"Bantuan daripada jabatan dan agensi terlibat tiada masalah kerana jentera (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) bermesyuarat banyak kali di Kelantan, ditambah setakat ini ia (banjir) tidak berlaku serius seperti di Pahang dan Selangor.
“Penyelarasan semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bekerjasama dengan rapat, tidak mempunyai masalah untuk menguruskan situasi banjir kepada penduduk yang terkesan," katanya.
Setakat jam 7 pagi Jumaat, sejumlah 1,275 mangsa banjir ditempatkan di sembilan PPS di Jajahan Jeli. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!