Harga ayam, telur, sawi dan kacang panjang turun esok: KPDNHEP
BUKIT MERTAJAM - Empat barangan keperluan makanan iaitu ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok sehingga 4 Februari nanti.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, keempat-empat harga barang berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) yang terlibat dalam pelarasan harga semula.
"Pelarasan harga semula dibuat dengan mengambil kira situasi dan lokaliti. Antara contoh penurunan harga bermula esok adalah ayam iaitu dari RM9.30 ke RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran.
"Skim ini dilaksanakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barang-barang keperluan makanan seperti ayam, telur ayam, daging dan sayuran bagi membolehkan pengguna memperoleh barangan pada harga munasabah, berpatutan dan stabil," katanya selepas mengadakan Walkabout Ops Back To School (BTS) dan SHMMP di Pasaraya Mydin di sini, pada Jumaat.
Katanya, sejak 7 Disember sehingga Khamis, sebanyak 25,897 premis diperiksa dengan 85 tindakan kes diambil di bawah penguatkuasaan SHMKM.
"Antara kesalahan dilakukan oleh peniaga adalah menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan dan tidak meletakkan tanda harga. Daripada tindakan diambil itu, sebanyak RM20,000 kompaun telah dikeluarkan.
"Bagi SHMMP Krismas 2021 yang dilaksanakan bermula 23 Disember sehingga hari ini, sebanyak 7,178 premis diperiksa namun tiada tindakan kes direkodkan sehingga kini. Dari segi aduan, enam diterima untuk SHMKM manakala satu untuk SHMMP Krismas 2021," katanya.
Sementara itu, bagi Ops BTS pula yang dilaksanakan sejak 13 Disember hingga 20 Mac, ia melibatkan sembilan barangan keperluan sekolah antaranya pakaian sekolah, beg sekolah dan peralatan pembelajaran.
"Untuk Ops BTS, ia lebih menumpukan kepada kestabilan harga barangan dan keperluan persekolahan bagi mengelakkan kenaikan harga menjelang pembukaan sesi persekolahan akan datang.
"Sehingga kini, sebanyak 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan telah diperiksa. Tiada aduan dan kes setakat ini direkodkan," katanya.
Mengulas mengenai aduan kenaikan harga di negeri yang dilanda banjir, Azman berkata, sehingga kini tiada aduan direkodkan.
"Aduan kenaikan harga tidak diterima namun hanya berlaku bekalan makanan terputus berikutan jalan ke kawasan tertentu di negeri yang dilanda banjir tidak dapat dilalui.
"Selain itu, masih ada kedai yang belum beroperasi kerana dilanda banjir teruk. Disebabkan faktor-faktor ini, maka berlaku putus bekalan di negeri-negeri terlibat," katanya.
Menurutnya, satu operasi khusus akan dilancarkan oleh kementerian pada Sabtu berhubung usaha menangani isu harga dan bekalan dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!