25 lokasi 'hotspot' banjir di Johor dikenal pasti
JOHOR BAHRU - Seramai 4,309 pegawai dan anggota polis sedia untuk bertugas semasa banjir yang dijangka mula melanda negeri ini pada awal Januari depan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu melibatkan 415 pegawai dan 3,894 anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.
"Kami telah mengenal pasti 25 lokasi 'hotspot' (titik panas) yang berkemungkinan berlaku banjir di seluruh Johor. Daerah Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi memiliki jumlah lokasi tertinggi iaitu empat lokasi masing-masing.
"Selain kesiapsiagaan anggota, kita juga telah mempersiapkan pelbagai aset antaranya 30 buah bot, 63 kenderaan pacuan empat roda, 43 set generator, 32 buah van dan 10 buah khemah.
"Bagi memastikan kelancaran sebarang operasi yang dijalankan, kami akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuklah bomba, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di IP Johor, di sini pada Jumaat.
Turut hadir isterinya yang juga Pengerusi Perkep Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin.
Pada Khamis, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu agar semua agensi berkaitan di negeri ini bersiap siaga dan bertindak pantas dalam usaha penambatan banjir susulan laporan ramalan awal banjir yang dijangka pada 1 Januari ini.
Tunku Ismail bertitah, pihak berkenaan perlu sentiasa memantau situasi di Johor dan memastikan segala bantuan dihulurkan kepada rakyat yang terjejas ekoran amaran waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Johor akan dilanda hujan berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!