11 pemancing Malaysia, tiga kru dibebaskan
KUCHING – Kesemua 11 pemancing rakyat Malaysia dan tiga kru sebuah bot pancing milik warga tempatan yang ditahan oleh Tentara Nasional Indonesia (TNI) di sempadan perairan negara semalam telah dibebaskan hari ini.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Robert Teh Geok Chuan berkata, hasil rundingan antara APMM dengan TNI membawa kepada persetujuan untuk melepaskan bot nelayan itu pada jam 2 petang ini.
“Bot itu kini dalam perjalanan balik ke Kuching dan dijangka tiba pada jam 3 petang esok. Kejayaan ini adalah hasil jaringan kerjasama baik antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bot tersebut yang membawa tiga kru termasuk seorang warganegara Indonesia serta 11 penumpang warga tempatan ditahan oleh TNI di kedudukan 53.2 batu nautika utara Tanjung Datu pada sekitar jam 9 pagi semalam.
Teh berkata pemilik bot dihubungi oleh tekong mengenai penahanan tersebut pada jam 7.12 pagi tadi melalui khidmat pesanan ringkas sebelum membuat laporan polis.
Justeru, beliau menasihatkan pemilik bot nelayan agar menjauhi kawasan berhampiran dengan sempadan negara jiran bagi mengelakkan kejadian sama berulang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!