Banjir: Penduduk berjaga malam pantau keadaan

Keadaan banjir yang berlaku di sebahagian kawasan di Kelantan, baru-baru ini.
Keadaan banjir yang berlaku di sebahagian kawasan di Kelantan, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Susulan pemakluman Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengenai kemungkinan banjir di Kelantan bermula hari ini, kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Kelantan di sini bersengkang mata memantau keadaan pada waktu malam kerana bimbang rumah mereka dilanda banjir.

Peniaga kedai runcit Rosnah Mat Zin, 60, dari Kampung Tanjung Jalan Geale berkata, biasanya susulan hujan lebat yang berterusan, paras sungai Kelantan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya, akan naik dengan cepat.

"Dalam kejadian banjir baru-baru ini, rumah saya dinaiki air hanya sedalam paras buku lali, tetapi saya masih tidak nyenyak tidur memikirkan bagaimana keadaan esok dan seterusnya, sekiranya hujan lebat berterusan.

"Saya sekeluarga terpaksa memantau keadaan sekeliling pada setiap masa sebab rumah ini berdekatan dengan sungai Kelantan yang bila-bila masa sahaja air boleh melimpah," katanya ketika ditemui Bernama, di sini pada Jumaat.

Rosnah berkata, tindakan pantas PRABN memaklumkan situasi mengenai banjir dan hujan dari semasa ke semasa, amat membantu keluarganya dalam membuat persediaan awal seperti meletakkan barangan berharga pada tempat tinggi.

Nur Izzatul Balqis, 26, dari Kampung Batu Lada pula berkata, beliau tidak memandang ringan segala amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa, meskipun rumahnya tidak pernah dilanda banjir.

Menurutnya, beliau tetap berwaspada terutama pada waktu malam kerana khuatir air sungai memasuki rumah tanpa disedari.

"Rumah saya ini terletak lebih tinggi daripada rumah penduduk yang lain, tetapi perasaan gusar, bimbang, khuatir semuanya ada, sebab kita tidak boleh ramal keadaan cuaca ketika ini yang sekelip mata sahaja boleh menjadi lebih teruk.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya tidak mahu ambil mudah dan cepat selesa walaupun pada tahun 2014 ketika banjir besar di Kelantan, rumah saya tidak dilanda banjir tetapi terkepung seperti berada di 'pulau', tidak boleh pergi ke mana-mana kerana semua rumah jiran dinaiki air," katanya.

Sementara itu, paras Sungai Kelantan di Kuala Krai setakat jam 10 pagi Jumaat merekodkan bacaan 24.84 meter melepasi paras amaran.

Pada Rabu, PRABN mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Disember, manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Januari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!