Banjir: Lakukan pembetulan elak musibah lebih besar

Bencana banjir bukan sahaja ujian ALLAH kepada hambanya yang dilanda banjir, malah ALLAH juga sedang menguji dalam kalangan mereka yang berada dalam kesenangan. - Foto Bernama
Bencana banjir bukan sahaja ujian ALLAH kepada hambanya yang dilanda banjir, malah ALLAH juga sedang menguji dalam kalangan mereka yang berada dalam kesenangan. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Musibah banjir yang melanda negara ketika ini perlu dijadikan iktibar dengan melaksanakan langkah pembetulan terhadap kesilapan lalu bagi mengelak bencana lebih besar berlaku pada masa akan datang.

Menerusi teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyebut, musibah adalah satu bentuk ujian yang ditimpakan kepada manusia agar menginsafi kewujudan ALLAH SW, iaitu mengembalikan manusia mengenali kebesaran ALLAH Yang Maha Berkuasa.

"Semoga musibah banjir ini turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri dan berani mengaku kesilapan yang mungkin telah kita lakukan atau dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita, ketika diamanahkan tanggungjawab untuk mengurus bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai.

"Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang-orang yang tidak berdosa terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar," jelas teks berkenaan.

Teks yang dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak itu menjelaskan, mangsa yang terlibat dalam musibah banjir diuji dengan kehilangan rumah, harta benda, sumber pendapatan, tanaman dan ternakan, malah ada yang kehilangan nyawa serta ahli keluarga yang dikasihi.

Katanya, melalui media terutama saluran media sosial, masyarakat dapat mengikuti pengalaman dahsyat dan ngeri yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir.

"Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa-mangsa banjir terutamanya orang-orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu, yang berada dalam kesejukan di atas bumbung-bumbung bangunan, sangat menyayat hati.

"Semoga mereka yang sedang menghadapi pahit getir ujian banjir, dikurniakan kesabaran, ketabahan, kegigihan dan kekuatan melalui detik-detik ujian yang berat ini," jelas teks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Khutbah Jumaat turut mengatakan bencana banjir bukan sahaja ujian ALLAH kepada hambanya yang dilanda banjir, malah ALLAH juga sedang menguji dalam kalangan mereka yang berada dalam kesenangan.

Katanya, ramai yang memiliki pakaian dalam almari yang lebih cukup daripada keperluan harian, begitu juga peralatan-peralatan seperti selimut, bantal, tilam, periuk dan kuali, pinggan mangkuk, senduk dan sudu serta pelbagai barangan rumah yang boleh dihulurkan kepada mereka yang sangat memerlukan.

"Sewajibnya, kita yang terselamat daripada musibah banjir menzahirkan rasa syukur yang setinggi-tingginya dengan bertekad untuk membantu mereka yang sedang berada dalam kesusahan.

"Ini termasuklah menzahirkan simpati dengan kata-kata yang dapat menenangkan hati dan menggerakkan tindakan yang dapat meringankan beban ditanggung mereka.

"Membantu mereka dengan menghulurkan bantuan semampu mungkin, baik dalam bentuk perkhidmatan, tenaga, kewangan, makanan, ubat dan peralatan rumah.

"Ia juga mencerminkan nilai-nilai Islam berteraskan sifat insaniah sejagat dengan menghulurkan bantuan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan ideologi politik," kata khutbah Jumaat itu.

Khutbah Jumaat turut memberi teguran agar masyarakat menghindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakamkan oleh juru foto dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian.

Katanya, bantuan dan pertolongan yang dihulurkan hendaklah dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana ALLAH SWT.

"Mimbar mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada kita yang turun padang membantu mangsa banjir.

"Begitu juga kepada mereka yang telah memberi pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral," jelas teks Khutbah Jumaat itu.

Teks sama turut memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-219, bertarikh 31 Disember 2019 telah memperakukan ketetapan bahawa mereka yang ditimpa musibah boleh dibantu menerusi Skim Bantuan Bencana di bawah asnaf Fi-Sabilillah.

Selaras dengan ketetapan itu, masyarakat Islam diberikan ruang yang selaras dengan seruan agama untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Masjid dan surau di seluruh negeri Perak telah menubuhkan Tabung Bencana dan Kemanusiaan. Bermula solat Jumaat pada 24 Disember lalu, tabung ini telah berjaya mengumpul sumbangan mencecah RM306,000," jelas teks itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!