Umat Islam dilarang lakukan ritual sambut Tahun Baharu Masihi
ALOR SETAR - Umat Islam di negara ini dilarang melakukan sebarang ritual termasuk mengadakan pesta mengandungi unsur hiburan melampau bagi menyambut Tahun Baharu Masihi.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, bagaimanapun beliau bersetuju dengan pandangan bahawa tiada tegahan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu.
Katanya, ucapan Selamat Tahun Baharu sudah memadai tanpa sebarang penganjuran pesta yang mungkin boleh menjurus ke arah maksiat.
"Baru pagi tadi (Jumaat), saya ada mendengar pandangan Darul Ifta Mesir dan beberapa tokoh, misalnya Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb mengenai ucapan Selamat Tahun Baharu.
"Beliau menyatakan, bahawa tidak ada apa-apa tegahan dalam agama untuk umat Islam mengucapkan Selamat Tahun Baharu mahupun Selamat Hari Krimas kepada penganut agama Kristian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tapak Pondok Warga Emas Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman dan Mudir Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Johari Morad.
Menurut Fadzil berhubung ucapan itu, hubungan umat Islam dengan masyarakat bukan Islam bukan dari tuntutan untuk berkompromi dari segi agama dan akidah tetapi dari segi ikatan kemanusiaan.
Tambah beliau, disebabkan itu, beliau bersetuju dengan pandangan Sheikh Ahmed Al-Tayeeb bahawa tidak salah untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu.
"Janganlah lakukan sebarang benda-benda ritual dan cukuplah sekadar ucap selamat sahaja," katanya.
Katanya, pandangan tersebut adalah berdasarkan rujukan daripada pandangan Imam Besar AL-Azhar itu.
Ketika diminta memberikan nasihat kepada umat Islam menjelang Tahun Baharu pada Sabtu dalam keadaan negara ditimpa musibah, beliau berkata, manusia akan diuji dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan seperti ditegaskan ALLAH SWT dalam kitab al-Quran.
Beliau menyatakan segala bentuk ujian dilalui termasuk banjir besar melanda beberapa negeri baru-baru ini harus dijadikan kekuatan untuk umat Islam melangkah ke tahun 2022.
Tambah beliau, ALLAH SWT tidak akan mengenakan ujian kepada hambanya jika insan tersebut tidak mampu menanggung.
"Segala ujian itu daripada ALLAH SWT dan ALLAH SWT mengetahui bahawa setiap ujian itu berada dalam kemampuan kita untuk menanggung," katanya.
Kata Fadzil lagi, ia akan menjadi panduan untuk menjalani kehidupan untuk lebih tenang dan bersedia dengan dugaan sekiranya umat Islam memahami hakikat itu (ujian).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!