Gerak kerja hadapi bencana banjir selaras di setiap peringkat
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Khamis memutuskan tindak balas dan gerak kerja setiap agensi untuk menghadapi bencana banjir akan diselaraskan di setiap peringkat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau telah membincangkan mengenai koordinasi dan penyelarasan setiap agensi terlibat dalam pengurusan bencana banjir supaya lebih efektif di setiap peringkat.
Menurutnya, perbincangan itu turut menyentuh aspek pengalaman pengendalian banjir dan pengoperasian tindak balas bencana bagi memastikan mekanisme terbaik dapat diaplikasikan semua agensi di masa hadapan.
"Perkara-perkara yang dibincangkan akan dipanjang serta dikoordinasikan di peringkat negeri dan daerah agar penyelarasan semua agensi terlibat menjadi lebih efektif dan proaktif dalam pengurusan bencana banjir.
"Semua Pesuruhjaya Polis Negeri, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah telah diarah mengadakan mesyuarat yang sama di peringkat masing-masing," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Razarudin berkata, agensi terlibat dalam mesyuarat tersebut adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),Sukarelawan Malaysia (Rela), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
"Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Tambah Razarudin, rentetan dari mesyuarat tersebut beliau mengadakan satu sesi lawatan kerja ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Hulu Langat, pada Jumaat.
Katanya, dalam lawatan tersebut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memberi taklimat mengenai penugasan pemulihan dan kerja-kerja pasca banjir di kawasan berkenaan.
"Taklimat ringkas mengenai pengoperasian pasca banjir turut disampaikan oleh Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Muhammad Abd Halim.
"Saya juga berkesempatan melihat sendiri kerja-kerja pembersihan yang dijalankan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!