PM hadir program solat hajat, Munajat Perdana
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama kira-kira 1,000 jemaah menghadiri Program Solat Hajat dan Munajat Perdana bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena Tahun Baharu 2022 di Masjid Putrajaya di sini pada petang Jumaat.
Ismail Sabri yang berbaju Melayu putih hadir diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad dan beberapa menteri kabinet serta pegawai kerajaan tiba di perkarangan masjid itu kira-kira jam 7 malam.
Program dimulakan dengan sembahyang Maghrib diikuti solat hajat dan zikir munajat serta doa yang diketuai Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Salahuddin Ghozali.
Difahamkan Sambutan Tahun Baharu 2022 dibatalkan dan digantikan dengan solat hajat serta doa selamat sebagai tanda menghormati serta bersimpati terhadap mangsa banjir yang melanda di beberapa negeri di Malaysia.
Sebelum ini, Ismail menerusi catatan di Facebook miliknya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia supaya menganjurkan solat hajat berkenaan.
Perdana Menteri turut menyarankan masjid di seluruh negara terutamanya masjid negeri agar menganjurkan majlis sama manakala Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing
Beliau berharap segala usaha yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!