Bank Muamalat sifatkan isu cek tular selesai
KUALA LUMPUR - Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyifatkan isu cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan Bank Muamalat Seremban yang tular baru-baru ini, telah pun selesai.
Sambil menegaskan ia adalah sebuah institusi perbankan Islam yang mematuhi standad operasi dan integriti yang tinggi dalam tadbir urus dan prosedur perbankannya, bank berkenaan berkata segala prosedur yang ditetapkan telah dipatuhi dalam urusan isu cek tersebut.
"Susulan sidang media bersama pada 27 Disember juga, pihak bank dan pelanggan telah pun bersetuju bahawa isu tersebut dianggap selesai," demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Bank Muamalat berhubung isu berkenaan, pada Jumaat.
Bank Muamalat berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pihak ketiga yang tiada kaitan dengan Bank Muamalat berhubung insiden tersebut adalah tidak tepat kerana ia tidak berdasarkan kepada perkara sebenar yang berlaku.
Pada 27 Disember lepas, bank berkenaan mengadakan sidang media bagi menjelaskan laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan bank di Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.
Bank itu turut memaklumkan bahawa cek tidak pernah dikategori sebagai halal atau sebaliknya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!