7,000 jemaah hadir solat hajat mohon kesejahteraan Selangor
SHAH ALAM - Sekitar 7,000 jemaah hadir ke masjid dan surau di daerah seluruh Selangor bagi memohon doa untuk kesejahteraan negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut meliputi seramai 1,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, manakala seramai sektiar 300 hingga 500 jemaah hadir di masjid-masjid daerah untuk program berkenaan.
Menurutnya, acara tersebut bukan suatu perkara yang asing kerana ia pernah diadakan pada tahun-tahun sebelum ini meliputi pelbagai bentuk pengisian program.
"Setiap tahun ada program seperti ini diadakan, cuma kandungannya lebih pelbagai, yang mana ada pengisian rohani dan detik menunggu jam 12 tengah malam.
"Namun tahun ini sesuai dengan keadaan negara yang dilanda bah besar, kita laksanakan sebahagian program yang sebelum ini dijalankan.
"Alhamdulillah sambutan yang sangat baik daripada komuniti dan masyarakat, walaupun menerima jumlah yang ramai tapi masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Selangor Memohon Kesejahteraan dan Keberkatan ALLAH SWT Menjelang Tahun 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.
Program tersebut meliputi pelbagai pengisian meliputi solat hajat, solat taubat, solat sunat awabin dan bacaan Yasin yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.
Selain itu, pengisian lain seperti bacaan doa awal tahun, doa hindar bencana dan wabak Covid-19 dipimpin oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, manakala bacaan zikir munajat diketuai oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Omar.
Selain Amirudin, turut hadir ke program tersebut ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!