Indonesia ratifikasikan RCEP pada suku pertama 2022
JAKARTA - Indonesia berharap untuk meratifikasi perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang suku pertama tahun 2022, kata Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.
Suruhanjaya parlimen Indonesia baru sahaja memuktamadkan perbahasan mengenai ratifikasi perjanjian RCEP.
“Ia kemudiannya akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan untuk melengkapkan proses dan memastikan pelaksanaan perjanjian yang cekap,” katanya pada taklimat mengenai RCEP yang diadakan secara maya.
Memandangkan perjanjian itu berkuat kuasa pada 1 Januari, 2022, Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain sedang memuktamadkan langkah-langkah dan pengaturan institusi.
Negara lain yang mengambil bahagian ialah Australia, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Korea Selatan, Laos, Myanmar, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Perjanjian perdagangan itu menghapuskan tarif ke atas 91 peratus barangan dan menyegerakkan peraturan biasa mengenai pelaburan, harta intelek dan e-dagang.
Penandatangan RCEP membentuk 28 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 30 peratus daripada populasi dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!