Gajah Perang tak pandang mudah semangat juang Garuda

Antara aksi menarik perlawanan akhir pertama Indonesia menentang Thailand di Stadium Nasional sebelum ini. - Foto PSSI
Antara aksi menarik perlawanan akhir pertama Indonesia menentang Thailand di Stadium Nasional sebelum ini. - Foto PSSI
A
A
A

PENGENDALI Thailand, Mano Polking memberi amaran kepada para pemain Gajah Perang supaya tidak leka apabila berdepan Indonesia pada aksi kedua final Piala Suzuki AFF di Singapura pada Sabtu, walaupun selesa mendahului 4-0 pada perlawanan pertama.

"Saya tidak fikir ini sudah selesai. Kami telah melihat pasukan terbaik di dunia dalam Liga Juara-Juara kalah dalam perlawanan selepas mendahului 4-0.

“Kami akan memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya, kerana kami tidak boleh memberi peluang kepada Indonesia untuk kembali bangkit pada perlawanan kedua,” kata Polking.

Juara Asia Tenggara lima kali Thailand dalam perlawanan final pertama berjaya mematahkan semangat para pemain muda Indonesia di Stadium Nasional pada Rabu, dengan kapten Chanathip Songkrasin menjaringkan dua gol manakala Supachok Sarachat dan Bordin Phala turut mencetak nama sebagai penjaring.

Sementara itu, Indonesia yang dipacu jurulatih Shin Tae-yong ternyata terkejut dengan kekalahan yang menyaksikan skuad Garuda melepaskan tiga gol pada separuh masa kedua, tetap positif menjelang perlawanan kedua tersebut.

“Saya tidak menjangkakan kami akan dikalahkan dengan margin yang begitu besar tetapi saya amat merasai kurangnya pengalaman memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini.

“Kami tidak akan terlalu memikirkan kekalahan ini dan saya akan terus menggalakkan pemain untuk fokus kepada perkara positif. Saya rasa Thailand memiliki momentum yang sempurna sedangkan kami tidak bermain dengan begitu baik, tetapi ini adalah kekalahan yang kami terima, kembali dan bersedia untuk perlawanan kedua,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.

Skuad Garuda untuk rekod tidak pernah memenangi Piala Suzuki AFF walaupun muncul sebanyak lima kali di pentas perlawanan akhir sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!