3,386 kes harian Covid-19 hari ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 3,386 kes baharu Covid-19 dicatatkan pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,761,472.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 46 kes (1.4 peratus) adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima, manakala 3,340 kes (98.6 peratus) lagi adalah Kategori Satu dan Dua.
Beliau memaklumkan kes harian itu melibatkan 3,040 kes penularan tempatan dan 346 kes import, sementara 3,547 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh kumulatif kini 2,688,925.
“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 273 dan 159 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Sabtu.
Dr Noor Hisham berkata, lima lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 215 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.98 setakat semalam.
Mengenai kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata, setakat Sabtu, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan tiada kes baharu Sabtu, manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 451 orang, termasuk tujuh kes baharu pada Sabtu.
Katanya, tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.
Tambah beliau, terdapat tujuh kes penyakit berjangkit dikesan melibatkan mangsa banjir pada Sabtu, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak empat kes, penyakit kulit (2) dan gastroenteritis akut (AGE) (1). - Bernama
Pada 1 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 3,386 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,761,472 kes.
Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://t.co/aIQttvCbIP
Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekaligus selepas tengah malam
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) January 1, 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!