Lelaki keluar kata kesat, kasari polis ditahan
KUALA LUMPUR - Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, seorang lelaki ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi 5, Bangsar di sini awal pagi Sabtu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek mengeluarkan kata-kata kesat ketika pemeriksaan dijalankan.
"Suspek bertindak sedemikian dan meminta polis segerakan pemeriksaan sebelum ditenangkan anggota polis di lokasi serta memintanya bersabar dan kembali ke tempat duduknya.
"Suspek dalam keadaan marah kemudian mencekak vest salah seorang anggota di bahagian leher dan berlaku sedikit pergelutan," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di sini pada Sabtu.
Katanya, suspek kemudian diberkas ketika kejadian.
"Suspek ditangkap kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Tangkapan dijalankan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurut beliau, Op Cantas Khas Ambang Tahun Baru 2022 dan Pemantauan Pematuhan SOP PPN diadakan bagi mengadakan pencegahan jenayah, memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Tindakan menfokuskan kesalahan-kesalahan yang melanggar undang-undang sempena ambang tahun 2022.
"Operasi dijalankan melibatkan tiga ops iaitu Op Cantas Khas dan Pemantauan Pematuhan SOP PPN, Op Noda melibatkan tiga pusat hiburan di Selangor dan Kuala Lumpur dan Op Bersepadu bersama Trafik Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!