23 individu ditahan ambang Tahun Baharu 2022
IPOH - Polis Perak menahan 23 individu yang didapati terlibat atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah sambutan ambang Tahun Baharu 2022 pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun itu dipercayai terlibat dalam kesalahan jenayah dan narkotik.
"Hasil operasi yang dijalankan di seluruh negeri, seramai 3,637 individu diperiksa, 15 orang telah ditangkap atas kesalahan narkotik manakala lapan lagi bagi kesalahan jenayah.
"Polis turut mengeluarkan 274 saman bagi pelbagai kesalahan trafik selepas memeriksa 2,983 kenderaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, operasi tersebut disertai 876 pegawai dan anggota polis dengan dibantu 20 pegawai daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Operasi bersepadu peringkat Kontinjen Perak ini diadakan untuk memastikan ambang Tahun Baharu 2022 disambut dalam keadaan selamat.
"Melalui operasi ini juga diharap dapat mengurangkan kegusaran orang ramai terhadap kejadian jenayah di sekitar kawasan mereka terutama apabila kita meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!