KPPK kenal pasti pekebun kecil, peladang terjejas banjir
KUALA SELANGOR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mengenal pasti pekebun kecil dan peladang yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa negeri di seluruh negara.
Ketua Setiausahanya, Datuk Ravi Muthayah berkata, setakat ini pihaknya masih mengumpul maklumat daripada agensi di bawah kementeriannya.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan amat prihatin untuk membantu golongan terbabit bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
"Kita sedang mengenal pasti bilangan pekebun kecil di kawasan yang terjejas dan apabila maklumat sudah dikumpul kita akan salurkan kepada pihak kerajaan untuk saluran bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Program Misi Bantuan Banjir di Kampung Asahan di sini pada Sabtu.
Ravi memberitahu, pihaknya meminta agensi seperti Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mendapatkan maklumat dan angka tepat pekebun kecil dan peladang terjejas.
"Kita (agensi berkaitan) akan menyatakan nilai kerosakan dan sebagainya untuk pertimbangan pada pihak kerajaan," katanya.
Dalam pada itu Ravi berkata, kerajaan juga sedang menilai laporan mengenai 64 kilang perabot di seluruh negara terjejas banjir.
Katanya, anggaran keseluruhan kerugian dialami semua kilang terbabit berjumlah kira-kira RM10 juta.
"Kita tidak bantu semua (kerugian), tetapi kita ada beri bantuan input bahan mentah yang diimport melalui Persatuan Kayu Kayan sendiri.
"Kita mengambil kira kerosakan dialami (kilang perabot) dan akan sampaikan bantuan setelah diluluskan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!