Pekebun rugi, 100 pokok pisang tenggelam akibat banjir

Zaleha melihat air sungai yang masih mengenangi kawasan kediaman dan kebunnya.
Zaleha melihat air sungai yang masih mengenangi kawasan kediaman dan kebunnya.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang pekebun kecil berdepan kerugian lebih RM5,000 apabila 100 batang pokok pisang miliknya tenggelam dalam kejadian banjir di Kampung Chuchoh Puteri A, di sini.

Zaleha Mat Nawi, 52, memberitahu, sebelum ini dia memasarkan pisang-pisang berkenaan kepada pemborong di sekitar daerah berkenaan.

Susulan kejadian tersebut, katanya aktiviti penjualan pisang terpaksa dihentikan sementara sehinggalah penanaman semula dilakukan selepas musim tengkujuh.

Ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, jarak kebunnya yang terletak 100 meter dari Sungai Golok itu sering ditenggelami banjir melebihi 0.6 meter pada musim tengkujuh.

"Untuk gelombang kali kedua kali ini, hujan bermula Khamis lalu dan pada jam 4.30 pagi Khamis air sudah mula naik sehingga paras lutut di depan rumah saya. Dalam beberapa minit saja, air sudah memenuhi kawasan kebun.

"Saya dan suami pun bergegas keluar meninggalkan kediaman dan berpindah ke rumah salah seorang anak yang berhampiran,'' katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, selain pokok pisang, dia juga menanam lebih 30 pokok kelapa pandan dan beberapa jenis pokok buah lain seperti cempedak, nangka, duku dan durian.

Berikutan banjir berkenaan, salah seorang anak perempuannya, yang berniaga pisang goreng di depan rumah, Nik Nor Hayati Nik Zakuan, 29, tidak dapat meneruskan aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bila pisang tidak sempat diselamatkan, maka dia pun tidak boleh berniaga dan hanya menjual nasi.

"Sebenarnya, pokok-pokok buah yang ditanam di kawasan rumah ini berfungsi sebagai penahan air dari sungai supaya tidak masuk secara berlebihan, namun apakan daya arus deras telah memusnahkan kesemua tanaman saya. Saya reda apa yang berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!