Judi online: 14 rakyat Indonesia ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 14 lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket judi dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah kedai di Solaris Dutamas di sini, Selasa lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, kesemua suspek berusia 21 hingga 33 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai polis dari Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut telah beroperasi secara aktif sejak enam bulan lalu dan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi dan panggilan untuk kegiatan itu.
Menurutnya, sindiket menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi mereka dan mensasarkan pelanggan dari negara Indonesia.
"Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan warga tempatan dalam kes ini dan kita masih mengenal pasti dalang sindiket.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket meraih keuntungan mencecah RM300,000 sebulan serta wang pertaruhan RM1.5 juta untuk tempoh sama,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Mazlan berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 15 komputer, tujuh komputer riba, 110 telefon bimbit pelbagai jenama, 144 alat transaksi, empat modem, lima kabel dan tiga kunci serta jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM100,000.
"Kesemua suspek kini direman 14 hari bermula kelmarin (Selasa) hingga 26 Mac ini. Kes disiasat Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!